Sambutan Maulid Nabi merupakan amalan yang sering dilakukan oleh umat Islam sejak berkurun lama di seluruh pelusuk dunia Islam. Perbicaraan mengenai keharusannya juga telah lama dibicarakan sehingga ramai ulama’ telah menulis secara lengkap dalam kitab-kitab mereka tentang keharusan dan galakan majlis ini diadakan. Namun sehebat itu pula pihak yang bertopengkan ulama’ mencemuh majlis seperti ini dengan alasan ia merupakan perkara bid’ah kerana tidak terdapat pada zaman Rasulullah s.a.w.
Lantaran dari itu, terdapat dikalangan mereka yang mencemuh majlis ini dengan menggunakan kata-kata yang kesat dan biadab, seolah-olah mengadakan majlis maulid Nabi hanya mengundang maksiat dan dosa.Berkemungkinan kerana inilah, seorang pemuka bid’ah pada zaman ini yang bertugas sebagai tenaga pengajar di Masjid Nabawi, iaitu Abu Bakar al-Jazairi mengatakan sembelihan yang dilakukan untuk menyediakan makanan orang ramai pada hari sambutan Maulid adalah lebih haram daripada daging khinzir.
Malah lebih dari itu, bekas Mufti Arab Saudi al-Marhum Abdul Aziz bin Baz hampir-hampir mengkafirkan orang-orang yang mengadakan majlis Maulid yang diadakan sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab mereka ‘ al Siyanah al-Insan’ H: 233. Tidak dinafikan, hampir semua umat Islam di seluruh dunia mengadakan sambutan majlis maulid Nabi. Ini bermakna Abdul Aziz bin Baz hampir mengkufurkan seluruh umat Islam melainkan pengikut-pengikut ajaran mereka sahaja.
Syeikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan seorang anggota Majlis Ulama’ Besar Arab Saudi menyebut dalam kitabnya bahawa banyak khutbah-khutbahnya yang mengandungi amaran dari mengadakan majlis sambutan maulid Nabi s.a.w.Beliau menulis di dalam kitabnya ‘al-Khutub al-‘Asriyyah’ yang dibaca dan sering diulang-ulang oleh sebahagian khatib, “Wahai hamba Allah! sesungguhnya perkara-perkara bid’ah hanyalah merupakan perkara baru di dalam agama yang menukarkan agama Islam kepada agama yang lain. Ia adalah suatu belenggu yang membuang masa, membazirkan harta, meletihkan badan, menjauhkan dari syurga dan mendekatkan kepada neraka, yang pastinya mengundang kemurkaan Allah tetapi orang-orang yang sesat tidak memahaminya, tidaklah amalan mereka tersebut bertambah tetapi sebenarnya mereka menjadi semakin jauh dari Allah dan tidaklah ijtihad mereka dan penat lelah mereka mendapat balasan dan pahala melainkan hanya mengundang kemurkaan Allah.
Golongan Wahabi, mengidupkan isu pengharaman majlis ini hanya dengan satu alasan yang lapuk dan rapuh yang sememangnya tidak boleh diterima pakai lagi. Malah telah berkali-kali alasan mereka tersebut dijawab dengan panjang lebar oleh sebilangan besar ulama’ Islam tetapi mereka masih tetap dengan pendapat dan kedegilan mereka. Inimemberi kefahaman yang jelas kepada kita, bahawa mereka sebenarnya bukan mencari kebenaran tetapi mencari perpecahan dan mengajak umat Islam membenci syiar-syiar kebesaran Islam.
Sekalipun majlis Maulid Nabi tidak pernah diadakan pada zaman Nabi, tetapi amalan ini dianjurkan oleh Allah dan RasulNya secara umum. Sekali pun tidak ada nas yang nyata menyebut mengenainya tetapi secara tersirat Allah dan RasulNya menyuruh kita merayakan hari-hari peringatan buat kita seperti hari Maulid , Isra’ Mikraj, Nuzul Quran, Hari Asyura dan sebagainya.
Melihat dari sudut pengisian yang diadakan di dalam majlis ini, semua ulama’ bersepakat mengharuskan amalan-amalan yang diadakan. Misalnya, mengumpulkan umat Islam untuk mengingati sirah Rasulullah s.a.w., memuji baginda, mengucapkan salawat dan sebagainya.
Mengadakan majlis untuk memberikan peringatan dan mengambil pengajaran dari sirah Rasulullah s.a.w. merupakan majlis ilmu yang menjadi salah satu dari method dakwah untuk melahirkan kecintaan umat Islam terhadap Allah dan RasulNya. Ini secara tidak langsung, menjana penghayatan umat Islam terhadap sunnah Rasulullah s.a.w.
Begitu juga dengan mengucapkan kata-kata pujian dan salawat ke atas Baginda, sememangnya telah menjadi hak Rasulullah s.a.w. Menyediakan makanan untuk orang ramai pula merupakan suatu sedekah yang disunatkan, malah digalakkan kepada umat Islam. Majlis seperti inilah yang sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya, kerana memberi peluang keemasan kepada umat Islam untuk melakukan berbagai-bagai kebaikan yang tidak ada pada majlis-majlis yang lain.
Justeru, tidak ada sebab majlis seperti ini menimbulkan keraguan bagi mereka yang mempunyai pemikiran yang sihat sehingga dihukum sebagai bid’ah dan sesat.Sekalipun, keharusan perkara ini telah lama meniti di bibir ulama’ dan tinta-tinta pena serta tidak putus-putus diperdengarkan kepada umat Islam saban waktu, saya kira masih ada manfaatnya saya menyelitkan perkara ini di dalam artikel ini, memandangkan minat umat Islam semakin merosot terhadap bahan-bahan bacaan ilmiah ulama’ muktabar.
MENURUT PERSPEKTIF ULAMA’
Ramai di kalangan ulama’ yang menulis secara khusus mengenai keharusan maulid dalam kitab-kitab mereka.
Di antaranya Imam al-Hafiz al-Suyuti. Ketika beliau ditanya tentang hukum mengadakan majlis Maulid Nabi s.a.w. pada bulan Rabi’ul Awwal sama ada dicela atau tidak dan adakah diberikan pahala bagi orang yang menyambutnya, beliau menjawab,” Amalan pokok yang dilakukan di dalam majlis perkumpulan, bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an, kemudian dibaca sirah-sirah nabi dan kisah-kisah yang berlaku ketika kelahirannya. Setelah itu, mereka makan bersama dan bersurai, tidak lebih dari itu. Amalan seperti ini bid’ah hasanah (bid’ah yang baik) yang diberikan pahala bagi orang yang melakukannya kerana dalam amalan ini terdapat suasana membesarkan Nabi s.a.w. dan melahirkan rasa gembira di atas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang mulia.
Beliau menceritakan bahawa corang yang pertama menyambut Maulid Nabi s.a.w. ialah seorang raja yang adil di negeri Irbil (berdekatan dengan Syam) bernama Malik Muzaffar Abu Said al-Kukbari.
Beliau membelanjakan sebanyak 300 ribu dinar setiap tahun untuk menyambut Maulid Nabi s.a.w. Beliau merupakan orang yang pertama mengadakan keraian ini secara besar-besaran pada tahun 604 Hijrah dengan dihadiri oleh rakyat jelata yang datang dari segenap tempat.
Manakala Imam Abu Shamah (guru Imam al-Nawawi) menyatakan,”Di antara perkara baik yang dilakukan pada setiap tahun di zaman kami ialah bersepakat pada hari maulid Nabi s.a.w memberikan sedekah, melakukan kebajikan, dan melahirkan kegembiraan dan kesenangan. Dari hal yang demikian, selain dari dapat melakukan kebaikan kepada fakir miskin di dalam majlis tersebut, ia juga diisi dengan rasa kasih terhadap Nabi s.a.w, membesarkannya dan bersyukur kepada Allah di atas kurniaanNya yang telah mengutuskan seorang Rasul yang diutuskan sebagai rahmat bagi sekelian alam”.
Dari pendapat ulama’ di atas, dapatlah difahami bahawa bid’ah hasanah (baik) dan bid’ah sayyi’ah (buruk). Mengadakan majlis Maulid Nabi termasuk di dalam kategori bid’ah hasanah kerana majlis yang sangat baik ini diadakan untuk membangkitkan kecintaan kepada Nabi s.a.w. dari rasa kasih ini, seseorang akan lebih terangsang untuk mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w. Justeru, ia merupakan suatu amalan yang mendatangkan kebaikan dan diberikan pahala apabila mengerjakannya.
Al Hafiz al-Sakhawi menyatakan bahawa amalan maulid ini mula dilakukan selepas kurun ketiga dan sentiasa diteruskan oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia dan bandar-bandar besar. Mereka bersedekah pada malamnya dengan pelbagai jenis sedekah dan membaca maulid. Maka dari keberkatan majlis ini, terpancar ke atas mereka pelbagai kemuliaan dan kelebihan.
Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebut di dalam kitabnya al-Hawi li al-Fatawa bahawa Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w melaukan ‘aqiqah untuk dirinya selepas dilantik menjadi Nabi. Sedangkan, telah datang hadith menyatakan bahawa datuknya Abdul Muttalib telah melakukan ‘aqiqah untuk Baginda s.a.w pada hari ketujuh keputeraan Rasulullah s.a.w.
Tidak ada di dalam syariat, aqiqah dilakukan dua kali bagi seseorang. Oleh yang demikian, berkemungkinan apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah untuk melahirkan tanda syukur kerana Allah telah menjadikannya sebagai rahmat bagi sekelian alam dan pembawa syariat.
Oleh itu, Imam al-Suyuti menyatakan bahawa adalah sunat juga bagi kita melahirkan tanda kesyukuran di atas kelahirannya dengan mengadakan perkumpulan, jamuan makanan dan sebagainya yang kesemuanya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan untuk melahirkan tanda kegembiraan di atas kelahirannya.
Ini menunjukkan keraian yang diadakan adalah sebagai melahirkan tanda syukur kepada Allah di atas nikmatNya yang tidak ternilai. Tanda kesyukuran ini boleh dilahirkan dengan bermacam-macam cara yang sealiran dengan syariat seperti mengadakan berbagai-bagai ibadat secara berjemaah.
Manakala Imam Abul Qasim Junaid al-Baghdadi menyatakan bahawa sesiapa yang hadir di dalam majlis Maulid Nabi s.a.w dengan niat untuk membesarkannya, maka akan mendapat keamanan.
Oleh kerana itu, hukum mengadakan majlis sambutan Maulid Nabi s.a.w adalah harus dan disyariatkan di dalam agama. Malah ia menjadi sunat selagi sambutan tersebut tidak bercampur dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh syariat Islam. Sekiranya berlaku sedemikian, maka hukumnya bertukar menjadi haram.
Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, sependapat dengan pendapat di atas. Beliau telah menulis sebuah buku khas mengenai tajuk ini dengan lebih lanjut di dalam ‘Haula Ihtifal bi al-Maulid al-Nabawi al-Syarif’.
Ibnu Taimiyyah sendiri tidak pernah mengharamkan sambutan Maulid Nabi s.a.w. yang telah sekian lama berlaku di dalam masyarakat umat Islam. Malah beliau turut memberikan pendapatnya di dalam permasalahan ini bagi menunjukkan persetujuannya terhadap keharusan majlis Maulid Nabi s.a.w. yang diadakan oleh umat Islam. Antara lain, beliau menyatakan “Membesarkan maulid Nabi dan menjadikannya sebagai suatu musim perayaan kadangkala diadakan oleh sebahagian manusia. Mengingatkan maksudnya yang baikdan tujuannya untuk memuliakan Rasulullah s.a.w, adalah layak dalam hal ini mereka memperolehi ganjaran pahala yang besar”.
Al-Muhaddith Syeikh Abdullah al-Harari menyatakan bahawa sambutan maulid yang diadakan oleh para pemerintah, para masyaikh yang terdiri daripada ahli-ahli hadith, ahli feqah, ahli zuhud, ahli ibadah dan orang-orang awam menjadi ijma’ fe’li (persepakatan dari segi perbuatan) yang mengharuskan amalan ini. Malah ia mempunyai sandaran yang menjadi dasar rujukan di dalam pengeluaran hukum mengadakan maulid sebagaimana yang telah disebut oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-’Asqalani dan lain-lainnya.
Justeru, bersama siapakah puak Wahabi mendokong fahamannya ini? Sedangkan mereka tidak sependapat dengan Ahli Sunnah wa al-Jamaah, malah tidak juga sependapat dengan ketua mereka Ibnu Taimiyyah.
KELEBIHAN MENYAMBUT MAULID NABI S.A.W
Di dalam artikel ini disebut beberapa kisah kelebihan menyambut Maulid Nabi yang saya sedut dari kitab I’anah al-Tolibin. Sekali pun kisah yang dipaparkan ini tidak boleh dijadikan dalil yang qot’ei tetapi ia berperanan sebagai merangsang individu muslim meraikan Maulid Nabi dalam usaha menambah kecintaan umat Islam kepada baginda s.a.w.
Kisah-kisah tersebut bukanlah rekaan semata-mata yang direka untuk kepentingan peribadi, tetapi kisah ini diselitkan juga oleh ulama’ yang lain di dalam kitab mereka sebagai sumber pengajaran yang boleh dimanfaatkan bersama.
Di dalam kitab I’anah al-Tolibin disebut bahawa pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid, terdapat seorang pemuda di Basrah yang tidak elok perangainya. Oleh kerana perangainya yang buruk, maka penduduk Basrah memandang keji kepadanya. Tetapi, apabila masuk bulan Rabi’ul Awwal, maka pemuda tersebut membersihkan pakaiannya, memakai wangi-wangian dan pakaian yang cantik serta mengadakan kenduri kerana menyambut maulid Nabi.
Pada setiap tahun, apabila tiba bulan Rabi’ul Awwal ia akan melakukan sedemikian sehinggalah ke akhir hayatnya. Setelah ia meninggal dunia, maka penduduk Basrah mendengar satu suara yang berkata ” Pergilah wahai penduduk Basrah dan saksikanlah jenazah seorang wali dari kalangan wali Allah ini kerana ia merupakan seorang yang mulia di sisi-Ku,”. Maka penduduk Basrah pun pergi menziarahi jenazahnya dan mengkebumikannya.
Pada malamnya, mereka bermimpi melihat pemuda tersebut dipakaikan dengan pakaian sutera yang amat bernilai. Lalu beliau ditanya “Dengan apakah kamu mencapai kemuliaan ini?” Jawabnya ” Dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah saw.”
Diceritakan juga di dalam kitab I’anah bahawa pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan, terdapat seorang pemuda yang tampan di Syam (Syria) yang asyik menunggang kudanya.
Pada suatu hari, ketika sedang menunggang kudanya, tiba-tiba kuda tersebut menjadi liar dan tidak dapat dikawal sehinggalah ia memasuki ke dalam kawasan larangan menunggang kuda dan sampai di pintu rumah khalifah. Lalu kuda tersebut melanggar putera khalifah sehingga menyebabkan putera khalifah tersebut meninggal dunia.
Setelah berita kematian putera khalifah sampai kepadanya, maka pemuda tersebut diperintahkan mengadap. Ketika tentera khalifah pergi menangkapnya, tiba-tiba terlintas dihati lelaki tersebut untuk bernazar “Sekiranya Allah melepaskan aku daripada perkara yang buruk ini, nescaya aku akan mengadakan kenduri yang besar untuk menyambut hari keputeraan Rasulullah saw”.
Ketika pemuda tersebut sedang mengadap khalifah, tiba-tiba kemurkaan khalifah reda dan hilang, malah baginda tersenyum memandang pemuda tersebut. Maka khalifah pun berkata “Adakah kamu mempunyai ilmu sihir?”, Jawabnya “Demi Allah, tidak wahai Amir al-Mukminin. Maka khalifah berkata “Beta telah mengampunkan kamu, tetapi katakanlah kepada beta apakah yang telah kamu katakan tadi. Maka katanya “Aku telah berkata sekiranya Allah melepaskan aku dari peristiwa buruk ini, nescaya aku akan mengadakan kenduri menyambut Maulid Nabi s.a.w “. Maka khalifah pun berkata “Aku telah mengampunkan kamu dan ini wang sebanyak seribu dinar untuk kamu mengadakan akan kenduri maulid tersebut, dan kamu telah aku halalkan dari darah anakku.
Maka pemuda tersebut pun keluar. Ia telah dibebaskan daripada hukumannya dan diberikan dengan seribu dinar dengan keberkatan Nabi s.a.w.
Kegembiraan ilmuwan Islam meraikan Maulid Nabi s.a.w. juga banyak dipaparkan. Di antaranya Hasan al-Basri pernah berkata,” Sekiranya aku mempunyai emas setinggi bukit Uhud, nescaya aku akan membelanjakannya untuk meraikan majlis membaca Maulidur Rasul s.a.w “.
Imam al-Junaid al-Baghdadi pernah berkata,” Sesiapa yang menghadiri majlis Maulidur Rasul s.a.w dan membesarkan kedudukan baginda, maka ia telah mencapai kejayaan iman “.
Ma’ruf al-Kurkhi berkata,” Sesiapa yang menyediakan makanan sempena Maulidur Rasul s.a.w, lalu mengundang orang ramai, menyalakan lampu-lampu, memakai pakaian yang baru, memakai wangi-wangian dan berhias-hias kerana membesarkan kelahiran Rasulullah s.a.w., maka akan dikumpulkannya oleh Allah s.w.t. pada hari kiamat bersama kumpulan pertama golongan para Nabi ia berada di syurga ‘Illiyyin (tinggi)”.
Imam al-Yafi’e berkata.” Sesiapa yang mengumpulkan orang ramai kerana menyambut Maulid Nabi s.a.w., menyediakan makanan, memberikan tempat, melakukan kebaikan untuk mengadakan majlis membaca kisah Maulidur Rasul s.a.w, akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t. pada hari kiamat bersama ahli siddiqin, syuhada’ dan solihin dan berada di dalam syurga Na’im”.
Sirri al-Siqti berkata,” Sesiapa yang pergi ke suatu tempat untuk membaca kisah Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia telah pergi ke sebuah taman dari taman-taman syurga kerana tidaklah ia menuju ke tempat-tempat tersebut melainkan lantaran kerana kasih kepada Rasulullah s.a.w.,”.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,” Sesiapa yang mengasihiku maka ia bersamaku di dalam syurga,”.
Telah berkata Sultan Ahli ‘Arifin Jalaluddin al-Suyuti di dalam kitabnya,” Tidak ada suatu rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan di dalamnya mengenai Maulid Nabi s.a.w. melainkan malaikat mengelilingi ahli tempat tersebut dan Allah menebarkan rahmatNya kepada mereka”.
Katanya lagi,” Tidak ada seorang muslim yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi s.a.w. melainkan Allah mengangkat kemarau, waba’, kebakaran, bala, hasad dengki dan dijauhkan pencuri dari ahli rumah tersebut. Maka apabila ia mati, Allah akan mempermudahkan baginya menjawab soalan Munkar dan Nakir,”.
Di dalam kitab al-Kawakib al-Durriyyah diriwayatkan bahawa di Basrah terdapat seorang lelaki yang mengadakan majlis Maulid Nabi pada setiap tahun. Berdekatan dengan rumahnya hidup sebuah keluarga Yahudi.
Pada suatu hari, isteri Yahudi tersebut bertanya kepada suaminya “Apakah halnya dengan jiran muslim kita itu, setiap tahun ia akan membelanjakan wang yang banyak sepertimana yang dibelanjakannya pada bulan ini?” Maka kata suaminya “Mereka percaya bahawa pada bulan ini nabi mereka dilahirkan”.
Sedang mereka tidur pada malamnya, isterinya bermimpi melihat seorang lelaki yang cukup hebat, penuh kebesaran, kehormatan dan cahaya. Ia berada di antara sahabat-sahabatnya yang mengelilinginya seolah-olah lelaki tersebut seperti bulan. Maka perempuan tersebut berkata kepada salah seorang dari sahabat-sahabat tersebut, “Siapakah orang yang mempunyai cahaya yang memancar-mancar ini?” Mereka menjawab,”Dia adalah seorang nabi berbangsa Arab yang dipilih oleh Allah”. Perempuan itu bertanya lagi,”Adakah ia akan bercakap denganku apabila aku bercakap dengannya?” Mereka berkata,”Dia bukanlah seorang yang sombong atau meninggikan diri”. Lalu perempuan itu berkata,”Wahai Muhammad s.a.w!” Maka Rasulullah s.a.w menjawab dengan mulut yang manis,”Labbaika (Ya, aku menyahut seruanmu)”. Maka perempuan itupun berkata,”Kamu menjawab panggilan orang sepertiku ini dengan ‘labbaika’ sedangkan aku bukannya berada di atas agama kamu”. Maka Rasulullah s.a.w pun berkata, “Tidaklah aku berkata kepadamu seperti sebentar tadi melainkan setelah aku mengetahui bahawa sesungguhnya Allah telah memberikan petunjukNya kepada kamu. Maka perempuan itu berkata,”Sesungguhnya kamu adalah nabi yang mulia dan kamu mempunyai akhlak yang mulia. Hulurkanlah tanganmu, maka aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa engkau Muhammad adalah pesuruh Allah”.
Kemudian perempuan tersebut bernazar, apabila siang menjelang, ia akan mensedekahkan segala harta yang dimilikinya kerana merasa gembira di atas keislamannya dan akan dibelanjakannya untuk meraikan Maulid Nabi s.a.w.
Apabila bangun dari tidur, ia mendapati suaminya telah bersedia untuk mengadakan kenduri dan pada pagi itu suaminya kelihatan begitu berhemah tinggi. Maka ia pun berkata kepada suaminya,”Aku melihat kamu berada di dalam keazaman yang cukup baik”. Maka suaminya berkata,”Ini adalah kerana orang yang kamu masuk Islam ditangannya semalam”. Kata isterinya, “Siapakah yang telah membukakan bagimu akan rahsia ini dan memberitahumu?” Jawabnya “Orang yang telah mengislamkan aku dengan tangannya selepas mengislamkan kamu semalam”.